Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Pilihan penentu masa depan


PILIHAN nutrisi untuk anak anda bakal menentukan tahap kesihatannya apabila dewasa kelak.


BUAT kali ke-59 tahun ini, dunia akan menyambut Hari Kesihatan Sedunia dengan tema 'Menyelamatkan nyawa. Menjadikan hospital selamat ketika kecemasan'. Ini bagi menekankan kesediaan merawat dan juga mencegah penyakit dan kecederaan ketika waktu kecemasan.

Di samping itu, kita juga menyambut Bulan Nutrisi Malaysia 2009 (NMM) yang diadakan setiap tahun sejak 2002. Untuk tiga tahun berikutnya, NMM akan memberi fokus kepada pemakanan kanak-kanak dari usia awal bagi menjaga pertumbuhan, perkembangan fizikal dan mental serta kesihatan generasi muda yang bakal menjadi pelapis dan pewaris negara.

Walaupun kedua sambutan ini berada di hujung dua spektrum, tema keduanya menunjukkan kaitan jaringan yang bermula dari perkembangan bayi yang berpotensi membawa kepada situasi kecemasan apabila mereka dewasa.

Acuan

Sambutan hari kesihatan dan bulan nutrisi tahun ini menunjukkan arah kepada kanak-kanak sebagai acuan asas individu dewasa yang bakal mewarisi generasi sedia ada. Bayi dan kanak-kanak kini perlu menjadi keutamaan untuk kita, golongan yang mungkin 'sudah terlambat untuk diselamatkan lagi' dari kancah kecemasan kelak.

Bila dikatakan kecemasan, keutamaan bukan dari segi kecederaan fizikal semata-mata tetapi lebih kepada masalah kesihatan kronik yang semakin menular kini. Antara yang paling biasa didengar adalah obesiti, penyakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi mahupun asma.

Penyakit kronik sememangnya bukan penyakit yang muncul secara tiba-tiba tetapi mengambil bertahun-tahun untuk bermula. Dan tiada tempoh lebih kritikal untuk perkembangan penyakit kronik dari zaman perkembangan dan pembesaran bayi dan kanak-kanak.

Bukan hanya penyakit kronik, sebarang masalah di waktu kritikal perkembangan dan pembesaran juga boleh menjejaskan mental dan fizikal anak kelak. Selain penyakit, nutrisi atau pemakanan golongan muda ini boleh menjadi faktor penentu fizikal dan mental mereka apabila dewasa kelak.

Pengarah Pusat Penyelidikan Nutrisi Kanak-kanak, Majlis Penyelidikan Perubatan (MRC) di Institut Kesihatan Kanak-kanak, London, Profesor Dr. Alan Lucas menjelaskan masalah kurang atau terlebih nutrisi di kalangan bayi dan kanak-kanak boleh ditemui di hampir semua kelompok masyarakat dunia.

"Golongan kaya sering dikaitkan dengan terlebih nutrisi sementara yang miskin pula kurang nutrisi.

"Bagaimanapun, dengan pembangunan dan kemajuan dunia yang semakin berkembang, terdapat kelompok masyarakat yang mempunyai kedua-dua bahagian masalah nutrisi," katanya.

Menurut beliau, penjagaan mengikut individu diperlukan bagi menyesuaikan dan menangani masalah kurang atau terlebih 'makan' ini.

Satu ciri utama bagi kanak-kanak adalah mereka akan terus membesar dan pakar pediatrik perlu tahu bagaimana penyakit atau nutrisi boleh mengubah pola pembesaran mereka.

Dr. Lucas menegaskan tempoh awal pembesaran amat penting dan boleh meninggalkan kesan mendalam untuk hidup ketika dewasa kelak.

"Corak perkembangan dan pembesaran awal boleh memberi kesan kepada risiko penyakit kronik, kanser amhupun perkembangan otak.

"Kajian ke atas haiwan juga menunjukkan terdapat kesan terhadap jangka hayat, penuaan, pembelajaran serta tingkah laku," tegasnya.

Beliau menekankan bahawa pembesaran dan perkembangan bayi bukan hanya untuk menjadi lebih besar semata-mata.

Tambahnya, bagaimana bayi membesar dan dibesarkan akan meninggalkan kesan besar terhadap kehidupan dan masa depannya.

Diprogramkan

Dr. Lucas juga merupakan individu yang memperkenalkan istilah 'pemprograman' iaitu kesan satu kejadian pada waktu kritikal pembesaran.

Dalam kata lain, seseorang boleh 'diprogramkan' akibat satu kejadian di waktu kritikal pembesaran dan kesannya mungkin kekal seumur hidup.

Di luar waktu kritikal, kesan kejadian sama mungkin tidak kekal. Sebagai contoh, ubat yang diambil ketika mengandung boleh memberi kesan kepada bayi yang dikandung.

Dr. Lucas menegaskan peringkat bayi (bawah satu tahun) adalah satu tempoh yang sensitif dalam perkembangan hidup.

"Bagaimana bayi diberi makan (nutrisi) boleh memberi kesan besar terhadap perkembangan dan kesihatannya kelak.

"Ramai yang percaya bayi yang tembam dan 'bulat' adalah sihat dan sering kali anak diberi makan banyak untuk menaikkan berat badan.

"Namun, perlu difahami bahawa bayi yang 'sihat' itu mungkin sudah obes. Lebih malang, risiko kesihatan akibat obesiti akan kekal tinggi untuk seumur hidup bayi tadi, walaupun jika mereka tidak obes apabila dewasa kelak," jelasnya.

Menurut beliau, obesiti membawa risiko kesihatan jangka panjang yang sebelum ini lebih banyak dikaitkan dengan golongan kaya di Barat.

Namun tambahnya, sebahagian kelompok masyarakat negara membangun juga makin ramai yang obes, sehingga ada yang sudah obes sebelum tahun pertama hidup.

Walaupun obesiti mempunyai banyak faktor punca lain, antara 20 hingga 30 peratus bermula semasa peringkat awal pembesaran. Untuk kumpulan ini, ia masih boleh ditangani.

Dr. Lucas mendedahkan selera makan juga boleh diprogramkan melalui pembesaran yang mendadak (semasa bayi).

"Perubahan hormon, terutamanya pada hormon leptin akibat tabiat makan semasa kecil boleh mengubah selera makan seseorang untuk seumur hidup.

"Mungkin juga selera makan sebahagian daripada mereka yang obes telah diprogram untuk makan berlebihan dari usia kecil lagi," ujarnya.

Bekalan nutrien

Bayi yang menyusu badan untuk enam bulan pertama hidup kebiasaannya membesar pada kadar yang stabil dan sihat. Bagaimanapun, pengenalan makanan tambahan terlalu awal terhadap susu ibu mungkin menambah bekalan nutrien bayi dengan mendadak. Ini tidak menyihatkan kerana ia melebihi jumlah nutrien yang diperlukan badan bayi.

Dr. Lucas menjelaskan kadar pertumbuhan bayi dapat ditentukan melalui carta pembesaran bagi melihat kadar perkembangan yang rendah, normal atau mendadak.

"Bayi membesar dengan mendadak jika melonjak dari berat rendah terus ke berat berlebihan, yang turut meningkatkan risiko obesiti.

"Tidak mengira saiz bayi, perkembangan pada kadar yang stabil dan sihat tidak memerlukan campur tangan nutrisi tambahan," tegasnya.

Jelasnya, Bayi mungkin kecil akibat faktor genetik dan tidak memerlukan tambahan nutrien jika membesar dengan normal sepanjang enam bulan pertama menyusu badan.

Beliau menyatakan hanya bayi yang pramatang atau mengalami kekurangan nutrisi sahaja yang memerlukan nutrien tambahan bagi menangani risiko jangka pendek, kematian dan jangkitan (sistem imun lemah).

Pengenalan makanan tambahan boleh dimulakan selepas enam bulan menyusu badan, di ketika badan bayi mula bersedia dengan perubahan seperti tumbuhnya gigi susu.

Dr. Lucas bagaimanapun menekankan pemantauan nutrisi anak dimulakan lebih awal, sebelum seorang wanita mula mengandung lagi.

"Badan wanita perlu bersedia membekalkan nutrien secukupnya kepada fetus. Tempoh paling sensitif perkembangan bayi pula dari penghujung kandungan dan sepanjang tahun pertama.

"Selain nutrien penting lain, bekalan iodin dan besi juga penting untuk fetus dan bayi membesar yang boleh memberi kesan kepada perkembangan otak dan IQ," katanya.

Permulaan awal

Presiden Persatuan Nutrisi Malaysia, Dr. Tee E. Siong memperakui kita sebagai manusia mudah leka dan mengambil mudah diri tidak akan menghidap penyakit yang dihidapi orang lain.

"Untuk itu kami meneruskan sambutan Bulan Nutrisi Malaysia (NMM) untuk mengingatkan orang ramai tentang pentingnya nutrisi, terutama di kalangan bayi dan kanak-kanak.

"Fokus kini seharusnya kepada bayi dan kanak-kanak yang sebenarnya merupakan pelaburan terbesar kita untuk masa depan negara," ujarnya.

Beliau menegaskan masa tidak menunggu untuk sesiapa dan tiada masa untuk kita mengambil mudah nutirisi anak semata-mata kerana mereka masih kecil.

Tambahnya, jika tidak digalakkan dan diajar dari peringkat awal, kanak-kanak mungkin akan berhenti mendengar kata seawal umur 11 tahun hasil tekanan dan pengaruh rakan sebaya.

Bermula dari ibu yang mengandung, penjagaan pemakanan dapat menjamin nutrien secukupnya kepada fetus, dan seterusnya sepanjang tempoh perkembangan bayi.

Dr. Tee menyatakan menghentikan dan menghalang penjualan makanan segera juga bukan langkah terbaik.

"Tiada sesiapa yang memaksa kita makana makanan segera dan juga banyak makanan tempatan lain yang tidak menyihatkan.

"Apa yang penting adalah untuk mengambil semua kumpulan makanan dalam jumlah bersesuaian. Pastikan dulu apa yang dimakan itu seimbang dan menyihatkan," jelasnya.

Selain itu, beliau turut membangkitkan kekeliruan yang berlaku di pasaran tempatan dengan maklumat yang tidak sekata dan juga iklan yang mengelirukan.

Tegasnya, tiada makanan yang dengan ajaib boleh menyembuhkan penyakit atau memberi keputusan semua A dalam peperiksaan. Apa yang patut dipromosikan adalah panduan pemakanan sihat dan bukan hanya produk atau jenama.

Proses berpanjangan

Pemakanan sihat tidak semestinya menjadi sesuatu yang membosankan dan makanan yang seimbang dan menyihatkan boleh dinikmati jika disediakan dengan cara bersesuaian.

Dr. Tee menekankan tiada makanan yang tidak elok selagi diambil dalam jumlah bersesuaian dengan keperluan badan, bersama kumpulan makanan yang lain.

"Pengambilan semua kumpulan nutrien setiap hari amat penting. Jumlah makanan dari setiap kumpulan juga boleh disesuaikan dengan aktiviti harian.

"Ini paling utama bagi kanak-kanak yang sepatutnya mempunyai banyak aktiviti fizikal, dan memang kebiasaannya suka bermain serta memecahkan barang," katanya.

Beliau menegaskan ibu bapa perlu mula risau jika anak mereka tidak suka bermain atau tidak memecahkan barang.

Tambahnya, berat dan ketinggian anak perlu dipantau dengan kerap bagi memastikan mereka tidak kurang atau terlebih makan. Berat dan ketinggian merupakan antara perkara utama dalam menentukan tahap kesihatan semasa anak dan juga diri sendiri.

Dengan kanak-kanak, pemakanan seringkali melibatkan pengambilan berlebihan satu kumpulan makanan (yang sedap) dan keengganan makan kumpulan makanan yang kurang perasa.

Oleh itu, cara memasak dan penyampaian makanan amat penting bagi memastikan bukan hanya sebahagian hidangan yang diambil kerana ini bukan sahaja boleh menyebabkan obesiti, malahan perkembangan yang terbantut. Bahan yang digunakan dan cara menarik perhatian anak untuk makan dan juga makan dengan sihat mungkin menjadi penentu tahap kesihatan mereka kelak.

Dr. Tee menggalakkan pemakanan secara sederhana, bersesuaian mengikut keperluan individu, dan semudah menggunakan logik akal apa yang sesuai untuk anak dan diri sendiri.

"Laporan Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan yang diadakan setiap 10 tahun menunjukkan peningkatan obesiti dan penyakit kronik lain.

"Untuk itu, mulakan seawal mungkin amalan pemakanan sihat kerana ianya satu proses berterusan dan perlahan bagi menjamin kesihatan dan masa depan anak anda," tegasnya.

Bagi generasi kini, mungkin amat sukar mengubat tabiat buruk seperti pengambilan makanan tidak seimbang, makan berlebihan, merokok mahupun kurang bersenam.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya fikirlah untuk anak-anak anda dan tanya pada diri, adakah anda mahu mereka lebih teruk, sama atau lebih baik dari keadaan anda kini? Dalam pelajaran dan kejayaan hidup, semestinya kita mahu anak lebih berjaya. Kenapa tidak untuk kesihatan mereka?

Jangan pula negara kelak diwarisi mereka yang obes, kurus kering, dan terbantut pembesaran semata-mata akibat kegagalan kita mengajar anak-anak cara pemakanan dan nutrisi seimbang.

Oleh itu, bukan hanya sempena sambutan hari atau bulan tertentu, beranikan diri dan ambil tanggungjawab anda bagi memastikan kesihatan anak-anak terjamin melalui pemantau nutrisi sepanjang tempoh kritikal pembesaran.

Ingatlah bahawa ianya sesuatu yang boleh dikawal dan diubah jika dimulakan dari peringkat awal. Nutrisi memberi kesan yang besar kepada tempoh pembesaran anak anda, jangan diambil mudah peluang untuk memastikan anak anda hidup dengan berjaya, cemerlang dan sihat.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...