Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Diet mata dan otak

Menjadi antara menu utama penduduk dunia, ikan ternyata lebih daripada sekadar penyumbang protein.


IKAN makerel antara yang menawarkan kandungan omega-3 yang tinggi.



MASIH ingat lagi sewaktu kecil kita dilarang memakan banyak ikan kerana akan kecacingan. Tetapi mungkin anda pelik, pada masa yang sama ibu kerap mengingatkan anda jangan lupa menikmati minuman minyak ikan Scott's Emulsion.

Kedua-duanya berasal daripada sumber yang sama - ikan. Walaupun secara khususnya, terdapat pelbagai jenis ikan yang menawarkan variasi jenis nutrisi dan gizi makanan, tetapi hampir kesemua ikan menawarkan sumber protein yang menyumbang kepada asid lemak omega-3.

Yang membezakannya hanyalah jumlah nutrisi yang ditawarkan mengikut jenis ikan, kandungan lemak, umur ikan, air di persekitaran dan cara penyediaan makanan.

Ikan menjadi penyumbang utama protein untuk badan manusia. Ia menyediakan 17 hingga 20 peratus dalam diet kebanyakan individu. Semua orang tahu protein penting untuk pertumbuhan dan perkembangan semua anggota badan.

Protein membantu membina tisu, kulit, rambut, kuku dan organ dalaman lain. Namun, kajian mendapati ikan tidak hanya terhad dengan fungsi itu. Dua jenis komponen utama asid lemak omega-3 ialah minyak yg diaktifkan secara biologikal - asid eicosopentaenoic (ERA) dan asid docosahexaenoic (DHA).

Lantaran itu, dua manfaat asid lemak omega-3 yang berjaya diteroka oleh saintis ialah kebaikan untuk kesihatan mata dan otak. Ini kerana ERA didapati penting dalam mengurangkan risiko penyakit kardiak, manakala DHA adalah struktur komponen yang penting untuk sistem saraf manusia.

DHA juga amat penting untuk perkembangan otak dan mata terutamanya kepada ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak. Kajian telah menunjukkan bahawa DHA membantu meningkatkan kepintaran dan fungsi mental, ia amat berguna kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam pembelajaran.

Penyelidikan yang dijalankan di Purdue University cuba mengukur kebenaran itu. Mereka mengkaji kandungan asid lemak di kalangan 100 pelajar lelaki berusia di antara 6 hingga 12 tahun. Mereka mendapati kanak-kanak yang mempunyai kandungan asid lemak omega-3 yang tinggi tidak mempunyai masalah dalam pembelajaran.

Selain baik untuk perkembangan minda kanak-kanak, ikan juga membantu melambatkan penurunan mental yang berhubungan dengan penuaan. "Penurunan itu jika dilihat dari kaca mata usia sama dengan tiga hingga empat tahun lebih muda," ujar Martha Clare Morris, saintis dari Amerika Syarikat (AS).


KEBAIKAN sumber omega-3 dalam ikan dijadikan pil suplemen.


Dalam kajian mereka, seramai 4,000 responden berusia sekurang-kurangnya 65 tahun dipantau perkembangan mereka selama enam tahun dengan diet terpilih. Selepas tempoh itu, mereka mendapati kumpulan responden yang mengambil ikan dalam jumlah tiga kali seminggu mempunyai daya ingatan lebih kuat dan mental yang cerdas.

Selain itu, ikan juga dikaitkan sebagai pelindung daripada artritis reumatoid. Penduduk di negara yang paling kurang diserang artritis iaitu Jepun dan orang Eskimo didapati menjadi penggemar setia ikan.

Bagaimanapun seperti yang dijelaskan pada awal tadi, beberapa jenis ikan yang menyediakan sumber nutrisi paling baik - kaya dengan omega-3 termasuklah salmon, tuna, makerel, kod dan halibut.

Ikan-ikan yang dikategorikan kurang berlemak pula termasuklah siakap, kerisi, merah, kerapu dam jenahak.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 ulasan:

atty's berkata...

kalo org pregnnat lagi elok makan ikan kan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...