Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Tak faham atau tak peduli?


MASYARAKAT perlu dididik mengenai kepentingan fakta nutrisi sebagai rujukan khasiat produk makanan. - Gambar hiasan



BAGI mereka yang mementingkan tahap kesihatan, diet atau disiplin dalam pengambilan makanan setiap hari adalah kunci utama terhadap pengurangan lemak dan kalori berlebihan.

Justeru, fakta nutrisi pada label setiap produk makanan yang dijual sangat penting untuk dijadikan panduan. Namun, berapa ramaikah yang tahu dan faham dengan fakta yang tercatat di situ?

Tinjauan di beberapa buah farmasi dan pasar raya di sekitar Lembah Klang mendapati kebanyakan pengguna masih memandang mudah label bertulisan halus tersebut.

Malah ketika ditanya mengenai maklumat label berkenaan, jawapan yang diberikan juga amat mengejutkan iaitu mereka tidak begitu faham dengan isi kandungan label yang memaparkan maklumat nutrisi makanan.

"Saya cuma baca kandungan lemak. Kalau tidak tinggi (nilai nutrisi) saya akan beli saja. Selebihnya saya tidak faham sangat," kata seorang guru, Kamaruddin Azizi, 38, dari Cheras, Kuala Lumpur.

Ujarnya lagi, maklumat yang terdapat pada label agak teknikal dan membuatkannya sekadar melihat sekali imbas.

Di samping itu, pemerhatian yang dilakukan mendapati cara penyampaian maklumat di label produk juga menjadi antara faktor ia kurang diberi perhatian oleh pengguna.

Bagi pegawai kewangan di sebuah bank di ibu negara, Vinod Raj, 28, label maklumat nutrisi yang dipamerkan tidak begitu praktikal kerana ia kurang menarik manakala saiz tulisan yang dipaparkan amat kecil.


MAKLUMAT fakta nutrisi yang terletak pada pek makanan perlu dijadikan panduan utama ketika membeli barang. - Gambar hiasan


"Ada produk tulisannya agak halus. Saya sendiri yang mementingkan maklumat pada label, sering menghadapi masalah untuk membaca dan membuat kiraan nilai nutrisi produk," katanya yang aktif bersukan di tempat kerjanya.

Tiada kesedaran dan pendidikan dari peringkat awal turut menyumbang kepada kejahilan dalam memahami label produk.

"Malah sogokan terhadap cara hidup sihat yang ditekankan juga dilihat tidak berjalan secara menyeluruh dan merangkumi pelbagai aspek," ujar Elena Yeoh, 29, dari Sungai Besi.

Pekerja di sebuah farmasi terkenal itu menambah: "Kesedaran terhadap pengambilan makanan seimbang tidak akan berlaku sekiranya kefahaman terhadap nilai nutrisi pada sesuatu produk tidak ditekankan."

Ujar beliau, kesihatan yang baik bermula daripada pemakanan yang betul dengan kandungan nutrisi yang tepat.

"Semua ini hanya boleh dilakukan kalau kita membaca dan memahami maklumat pada label produk dan ini tidak terhad pada makanan sahaja," jelasnya.

Pakar nutrisi kena ada di pasar raya

“ADA banyak kegunaan label makanan kepada masyarakat namun secara dasar, pengguna ingin tahu bagaimana untuk menggunakan maklumat dengan lebih efektif dan mudah,” ujar Pakar Diet dan Nutrisi, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Dr. Fatimah Arshad.

Bagi memudahkan proses tersebut, pakar diet harus ditempatkan di setiap pasar raya untuk menjelaskan kemusykilan pengguna mengenai isi kandungan setiap produk yang dibeli.

Malah tanggapan pakar diet dan nutrisi sekadar diperlukan di farmasi atau hospital harus dibuang kerana kemahiran tersebut mampu memberi perspektif baru dalam bidang kesihatan awam.

“Produk tidak hanya melibatkan tarikh luput dan logo halal. Isi kandungannya juga memainkan peranan dalam memastikan pengguna tahu apa yang mereka makan,” katanya.




Ini lebih-lebih lagi produk yang melibatkan kanak-kanak dan ibu hamil kerana kesannya amat besar jika tidak memahami kandungannya.

“Kadar saiz hidangan, jumlah kalsium, jenis gula dan garam yang digunakan akan memberi implikasi terhadap sistem tubuh terutama ibu mengandung,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, pemilihan sesuatu produk terutamanya makanan perlu dilakukan seperti membaca buku iaitu dari kulit ke kulit.

“Jangan hanya paparan di depannya menarik, kita terus lupakan apa yang dicatatkan di belakang,” katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

2 ulasan:

Dee berkata...

halus sgt yang..i pun x baca..

atty's berkata...

MULAI SKRG KENA RAJIN AR BACA..TQ REEN..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...