Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Makanan Untuk Anda...

Apakah Cara Makan Yang Betul ?

Ada sesetengah orang yang makan hanya untuk mengisi perut mereka. Ada juga yang makan bagaikan tiada hari esok untuk makan lagi.

Jangan ikuti tabiat seperti ini! Sebaliknya, ikuti cara makan yang sihat. Cara pemakanan yang sihat akan memastikan anda tidak mudah jatuh sakit dan juga akan membantu anda mencapai kecemerlangan di sekolah, hinggakan semua orang akan mengagumi anda!

Ikuti Panduan Piramid Makanan. Ia satu cara yang seronok dan senang untuk mendapat diet yang seimbang. Piramid ini mengesyorkan berapa banyak yang anda perlu makan daripada setiap kumpulan makanan. Ini akan membantu anda mendapat jumlah nutrien yang diperlukan. Senang sahaja – mula dari bawah piramid dan naik ke puncaknya!

Berapa Banyak Anda Harus Makan?

Makan mengikut keperluan fizikal anda. Jika anda sangat aktif dalam sukan dan permainan, anda harus makan lebih banyak. Jika anda tidak begitu aktif, anda harus kurangkan makan.

Bertenaga Dengan Bijirin dan Ubi

Nasi, mi, roti dan makanan bijirin lain mengandungi karbohidrat yang membekalkan tenaga kepada badan dan minda anda! Ubi seperti keledek dan kentang juga merupakan pilihan yang bagus! Makanan seperti ini harus menjadi sumber tenaga anda yang utama. Makanan ini juga mengandungi sejenis karbohidrat khas, dipanggil serat, yang amat penting untuk kesihatan anda.

Serat Menentang Penyakit Jantung


Serat ialah sejenis karbohidrat yang terdapat dalam kekacang, bijirin, ubi, buah-buahan dan sayur-sayuran. Ia membantu mencegah sembelit dan menyingkirkan sisa-sisa toksik daripada badan anda. Ia juga mencegah penyakit jantung, suatu penyakit yang bermula pada umur anda.

Tahukah anda bahawa penyakit jantung boleh bermula pada umur anda? Mengambil terlalu banyak lemak, terlalu sedikit serat, merokok dan tidak bersenam – semua ini boleh menyebabkan saluran darah ke jantung anda tersumbat ! Proses ini berlaku dengan lambat dan anda tidak akan menyedarinya….sehingga anda diserang sakit jantung beberapa tahun kemudian.

Makan banyak serat boleh membantu menjaga saluran darah yang sihat dan mengelakkan daripada tersumbat. Anda juga mesti menjaga berat badan yang sihat, jangan merokok dan mengamalkan cara hidup yang cergas.

Kuasa Kekacang

Kekacang adalah sumber protein yang baik. Anda boleh memilih pelbagai jenis kekacang seperti dhal, kacang hijau, kacang merah dan kacang soya. Kekacang seperti ini juga membekalkan serat yang penting untuk kesihatan anda. Jadi makanlah pelbagai kekacang!

Buah-Buahan enak !

Buah-buahan membekalkan vitamin dan mineral yang boleh melindungi badan anda daripada penyakit dan jangkitan biasa. Vitamin C dalam jambu, betik dan oren, misalnya, boleh membantu luka cepat sembuh. Buah-buahan juga mengandungi serat.

Makanlah banyak buah-buahan dan minum jus buah-buahan untuk menjadi sihat!


Sayuran sihat !

Sayur-sayuran juga mengandungi banyak vitamin dan mineral yang boleh membantu badan anda berfungsi dengan sempurna. Seperti makanan tumbuhan lain, sayur-sayuran juga tinggi kandungan serat.

Buatlah pilihan bijak – makan sayur-sayuran yang pelbagai warna, bentuk dan saiz! Sayur-sayuran mentah, dikukus atau ditumis adalah pilihan yang paling bagus.

Susu Pilihan Bagus!

Susu bukannya untuk bayi sahaja. Anda memerlukan susu juga kerana ia mengandungi zat protein untuk membina badan anda, vitamin serta mineral-mineral yang penting. Susu membekalkan kalsium, sejenis mineral yang boleh membentuk tulang yang kuat dan padat supaya tidak mudah patah kemudian hari nanti.

Sama ada anda minum susu segar atau susu tepung, susu biasa atau susu berperisa, segelas di rumah, atau sepaket di sekolah, pastikan anda minum susu dan dapatkan khasiatnya.

Makanlah Daging

Daging dan ikan mengandungi protein untuk membina otot dan tisu-tisu lain dalam badan anda. Daging juga merupakan sumber vitamin B, zat besi, magnesium dan zink yang bukan sahaja penting untuk kesihatan anda, tetapi juga membantu memperbaiki pencapaian fizikal dan mental anda.

Lemak Penting Juga!

Lemak adalah penting kerana ia adalah sumber kalori yang penting untuk memenuhi keperluan tenaga anda. Ia juga membekalkan nutrien-nutrien lain yang penting seperti asid lemak dan vitamin.

Akan tetapi, anda hanya memerlukan lemak dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Mengambil terlalu banyak lemak adalah buruk untuk kesihatan anda. Pertamanya, lemak mengandungi terlalu banyak tenaga sehingga boleh menambahkan berat badan anda. Keduanya, lemak haiwan (dari daging lembu, ayam, kambing atau khinzir) dan lemak dari sesetengah tumbuhan (seperti kelapa) boleh membawa kesan buruk kepada jantung anda dan lama-kelamaan mungkin mengakibatkan penyakit jantung.

Kurangkan Garam, Gula & Bahan Pengawet

Jika anda menggemari makanan yang manis, masin atau diproses, anda harus mengetahui ini. Terlalu banyak garam adalah buruk untuk tekanan darah anda, terlalu banyak gula boleh menambahkan berat badan anda, manakala sesetengah bahan pengawet dikatakan boleh menyebabkan penyakit kanser.

Jadi, ikutilah nasihat ini. Pilih makanan yang kurang garam, gula dan bahan pengawet. Nikmatilah rasa yang segar dan semulajadi!

Seronok Bersnek

Mengambil snek adalah cara yang baik untuk sentiasa bertenaga, cergas dan bersemangat sepanjang hari. Pilihlah snek yang enak lagi berkhasiat. Di sini ada beberapa idea untuk snek yang lazat: sandwic ringkas, biskut, sekeping keju, buah-buahan segar, sayur-sayuran mentah (seperti lobak kecil atau tomato ceri) atau segelas susu. Yumm…betapa menyelerakan snek-snek ini!


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...