Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Snek Antipenuaan

Pastikan anda mempunyai snek sihat bersama anda setiap masa untuk mengelakkan godaan snek berkalori tinggi.

SNEK saban kali mendapat reputasi tidak baik. Namun, sekiranya anda bijak membuat pilihan yang betul, anda sebenarnya dapat memperoleh manfaat kesihatan dan menikmati jangka hayat lebih lama.

Mengapa snek? Kebanyakan kita sudah biasa makan sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Tetapi adalah sihat untuk mengambil hidangan kecil secara kerap. Misalnya, lima hidangan kecil sehari.

Mereka yang mengamalkan kaedah pemakanan seperti ini akan menerima sejumlah nutrien, gula dalam darah dan tenaga secukupnya sepanjang hari. Malah, ia juga tidak akan memudaratkan sistem metabolik dan pencernaan anda.

Apabila anda mengamalkan lebih banyak pengambilan hidangan kecil sepanjang hari, anda kurang cenderung untuk makan berlebihan pada hidangan seterusnya. Sebaliknya, anda sebenarnya akan mengambil jumlah kalori yang lebih rendah dalam sehari.

Pastikan anda mempunyai snek sihat bersama anda setiap masa untuk mengelakkan godaan snek berkalori tinggi. Berikut adalah antara lima snek pilihan utama.

1. Beri




BUAH beri sememangnya kaya dengan antioksida. Kepelbagaian kulit beri yang terdiri daripada warna merah, ungu dan biru menandakan ia kaya bioflavonoid. Ia merupakan sejenis bahan antioksida yang dapat mengurangkan kerosakan akibat radikal bebas. Flavonoid-falvonoid ini adalah antioksida yang lebih berkesan berbanding vitamin C dan E. Malah, ia lebih berkesan daripada aspirin dalam mengurangkan kesan keradangan.

Beri biru adalah pilihan terbaik kerana ia bukan sahaja memiliki tahap kandungan antioksida tertinggi tetapi juga mempunyai unsur-unsur pelindung saraf. Unsur-unsur pelindung saraf ini dapat melindungi sel-sel otak daripada rosak, membantu melambatkan petanda-petanda awal penyakit yang berkaitan dengan peningkatan usia seperti hilang ingatan, penyakit Alzheimer dan nyanyuk.

Beri juga mengandungi kompaun baik antosianin. Antosianin merangsang pankreas untuk menghasilkan insulin. Para penyelidik Cina sejak sekian lama mendapati beri mampu mengekalkan tahap kesihatan pesakit diabetes. Kompaun- kompaun ini juga melindungi anda daripada penyakit kanser, artritis dan penyakit jantung kerana kesan pengurangan kolesterolnya.

2. Epal




TERDAPAT pelbagai sebab mengapa kita perlu makan sekurang-kurangnya sebiji epal setiap hari. Satu kajian mendapati, mereka yang makan melebihi lima epal seminggu memiliki fungsi paru-paru yang lebih sihat berbanding mereka yang langsung tidak mengambil epal.

Para saintis juga telah mengesahkan epal merupakan penyumbang kepada kesihatan jantung.

Pengambilan dua hingga tiga biji epal sehari dapat mengurangkan tahap kolesterol dalam badan. Pektin juga boleh mencegah kanser kolon yang merupakan salah satu punca kematian utama di kalangan mereka yang berusia 60 ke atas.

3. Aprikot




Salah satu jenis makanan ruji di kalangan masyarakat panjang usia di lembah Hunza di Himalaya adalah aprikot. Kajian mendedahkan aprikot memiliki kandungan dan variasi karotenoid tertinggi berbanding makanan lain.

Karotenoid adalah antioksida yang membantu mencegah penyakit jantung, mengurangkan paras kolesterol tidak baik dan melindungi tubuh daripada kanser.

4. Kekacang




Pengambilan sejumlah jenis kekacang setiap hari boleh memperbaiki peredaran darah dan membentuk otot tubuh.

Kekacang dipenuhi dengan kandungan arginine iaitu sejenis asid amino yang membantu melawan penyakit jantung, ketidaksuburan, mati pucuk dan tekanan darah tinggi. Ia juga membantu proses penyembuhan.

Tambahan pula, arginine boleh merangsang kelenjar pituitari.

Selepas usia 35 tahun, hormon mulai menjunam dan anda akan melalui sebahagian daripada simptom-simptom penuaan. Kulit mulai kehilangan kesan elastik, otot pula hilang kekuatannya manakala tisu-tisu tubuh juga merosot.

Sebahagian besar kekacang adalah kaya dengan sumber vitamin E, lignan dan asid lemak omega-3 yang melindungi anda daripada penyakit jantung dan kesan penuaan.

Badam, kacang pain, bijan, kacang Brazil, walnut, benih labu, benih bunga matahari, benih flax, kacang tanah dan pitachio adalah antara kombinasi menarik. Ingatlah bahawa kekacang mentah adalah kaya dengan nutrien berbanding yang dibakar. Jadi, pastikan kekacang yang diambil adalah segar.

5. Avokado




DALAM banyak-banyak nutrien antioksida, glutation dikenali sebagai antioksida utama. Kompaun yang wujud secara semula jadi ini boleh ditemui dalam avokado, asparagus, walnut dan ikan. Ia terdiri daripada tiga jenis asid amino iaitu glisin, asid glutamik dan sisteina.

Glutation dapat menyelaraskan sel-sel imunisasi, melindungi tubuh daripada kanser dan membantu mendetokskan badan.

Kekurangan glutation dalam badan akan menyumbang kepada masalah diabetes, penyakit hati, penyakit jantung, bilangan sperma yang rendah dan penuaan pramatang.

Avokado juga merupakan satu sumber L-sisteina yang membantu melindungi tubuh daripada kesan-kesan berbahaya akibat pencemaran, bahan-bahan kimia, radiasi, alkohol dan asap rokok. L-sisteina juga membantu meningkatkan tahap imuniti, melindungi anda daripada penyakit jantung dan membina otot. Ia juga berguna untuk melawan keradangan dan menggalakkan pertumbuhan rambut dan kuku yang sihat.

Gabungkan avokado dengan biskut atau roti penuh bijirin untuk keenakan hidangan kaya serat.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 ulasan:

Neeza.Areef berkata...

SUKE INFO2 CMNIE..
TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...